PEMANASAN global dan perubahan iklim benar-benar berlaku dan perlu perhatian serius dalam menanganinya. Peningkatan suhu dunia akibat pemanasan global terjadi apabila atmosfera bumi dan permukaannya dipanaskan secara beransur-ansur oleh haba (gelombang inframerah) yang terperangkap serta tidak terlepas ke luar angkasa.
Peningkatan tahap 'gas rumah hijau' di ruang atmosfera menyeliputi bumi. Secara semula jadi, gas rumah hijau terdiri daripada wap air, sejumlah kecil karbon dioksida (CO2), metana (CH4) dan dinitrogen oksida (N2O).
Gas ini pada asalnya berpunca daripada letusan gunung berapi dan pembakaran hutan akibat panahan petir. Ia berperanan seperti selimut untuk planet ini yang membenarkan penyerapan haba dari matahari dan mengekalkan kehangatan permukaannya pada purata 15 Celsius, sekali gus menyokong kehidupan di bumi.
Namun, peningkatan suhu mendadak disebabkan pelepasan karbon dioksida yang tinggi dan pertambahan gas lain seperti klorofluorokarbon (CFC) oleh manusia, menggugat fungsi sebenar atmosfera bumi. Akibatnya, bumi bukan sahaja semakin panas, malah lapisan ozon yang selama ini melindungi kehidupan di bumi turut terjejas apabila sinaran ultra-lembayung (UV) dari angkasa berjaya menembusinya.
Pemanasan global mendorong perubahan iklim luar biasa, nyata menjejaskan ekosistem di bumi. Bukan sahaja menyebabkan peningkatan suhu bumi dalam tempoh tertentu, malah menjadi punca kepada pencairan glasier (sungai ais) di kawasan pergunungan, kehilangan air batu laut (sea ice) di sekitar kawasan kutub, peningkatan paras air laut; menjejaskan pembiakan haiwan serta musim pengeluaran hasil tumbuhan. Ia juga dipercayai menjadi punca keruntuhan tamadun manusia silam akibat bencana alam yang amat teruk.
Kesan perubahan iklim juga dapat dirasai di Malaysia dengan berlakunya musim kemarau dan hujan yang lebih panjang serta tidak menentu. Kejadian ini dikaitkan dengan perubahan suhu antara permukaan lautan dan atmosfera di Lautan Pasifik (fenomena El Nino dan La Nina) yang mengakibatkan cuaca panas melampau dan taburan hujan banyak.
Krisis bekalan air
Ketidakstabilan cuaca ini menyebabkan krisis bekalan air ketika musim kemarau (cuaca panas dan kering) dan kejadian banjir yang buruk ketika musim hujan di beberapa negeri.
Antara kejadian banjir besar yang berlaku di Malaysia akibat taburan hujan luar biasa adalah pada 2006 di Johor dan pada 2015 menjejaskan penduduk di Kelantan dan Pahang. Pada 2017 menyaksikan, negeri di Pantai Timur dilanda banjir monsun berikutan musim tengkujuh.
Saban tahun, masyarakat yang mendiami kawasan mudah terjejas banjir diingatkan agar bersedia menghadapi bencana ini.
Ramai di antara mereka yang dilihat lebih peka dan bersedia dari aspek keselamatan, kediaman, pengangkutan, kesihatan dan makanan.
Walaupun masih lagi terdapat kerugian, usaha kerajaan dan pihak berwajib dalam menyebar peringatan dan langkah persediaan menghadapi bencana ini dilihat dapat sedikit sebanyak membantu penduduk yang terjejas.
Penulis berpendapat, langkah dinamik seperti ini perlu diambil dalam menangani masalah pemanasan global yang berpotensi memburukkan lagi iklim dunia. Usaha menangani isu pemanasan global yang semakin memburuk adalah tanggungjawab sejagat dan wajar dimulakan melalui proses pendidikan pada awal usia muda.
Kesedaran akan kepentingan menjaga kestabilan ekosistem bumi dapat disampaikan dan dipupuk melalui pendidikan alam sekitar seperti diusulkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar pada awal 2017. Pendidikan alam sekitar ini memerlukan pendekatan pelbagai disiplin dan bersifat menyeluruh.
Tingkat latihan, pemahaman
Pengajaran dalam bilik darjah perlu disusuli dengan kegiatan luar yang dapat melatih pelajar secara praktikal. Pengajar juga perlu dibekalkan ilmu yang cukup serta mempunyai minat tinggi dalam menyampaikan pengajaran itu.
Selain itu, penguatkuasaan serta penyediaan kemudahan yang baik adalah perlu dalam memastikan kelangsungan proses ini sehingga ke peringkat pembabitan awam. Langkah ini sebahagian kecil usaha yang dapat dilakukan untuk meningkatkan kesedaran generasi muda dan kepekaan orang awam dalam mengurangkan pencemaran serta memelihara alam sekitar.
Ini selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam mengurangkan keamatan pengeluaran gas rumah hijau daripada Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding pengeluaran KDNK pada 2005.
Usaha kerajaan dalam menghadapi masalah iklim sejagat dapat dilihat melalui beberapa inisiatif antaranya seperti yang digariskan dalam Dasar Biofuel Negara (2006), Dasar Perubahan Iklim Negara (2009) dan Dasar dan Pelan Tindakan Tenaga Boleh Diperbaharui (2010).
Perdana Menteri turut menekankan, Malaysia tetap teguh dengan misinya untuk mengurangkan pelepasan karbon dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas (2016-2020) yang memberi fokus terhadap usaha pertumbuhan hijau, amalan penggunaan dan pengeluaran secara lestari, pemuliharaan sumber asli dan meningkatkan kesedaran terhadap perubahan iklim yang mampu mengundang bencana alam.
Usaha serupa juga mendapat perhatian 20 pemimpin negara Islam yang sepakat mengisytiharkan 'Deklarasi Islam mengenai Perubahan Iklim' ketika Simposium Perubahan Iklim Islam di Istanbul pada 2015. Ia menyeru agar masyarakat Muslim di seluruh dunia memainkan peranan aktif dalam membendung perluasan pemanasan global dan perubahan iklim selaras dengan Perjanjian Paris.
Antara isi kandungan menarik dalam deklarasi itu adalah seruan untuk menggunakan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui dan menjadikan negara bebas daripada pelepasan karbon. Peralihan sumber tenaga konvensional kepada tenaga boleh diperbaharui menjadi antara agenda utama dalam merealisasikan pembangunan lestari dan ia digalakkan Islam.
Ini selari dengan prinsip al-Quran yang menyeru manusia agar membangunkan bumi (i'mar al-ard) secara adil dan bertimbang rasa kepada sesama manusia, haiwan, tumbuhan serta alam semula jadi.
Sumber dari : Felo Penyelidikan di Institut Kajian Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia
Video Montage Malaysia Sustainable Development Goals (MySDG)
Apa Itu Sustainable Development Goals?
Sustainable Development Goals (SDG) atau Matlamat Pembangunan Mampan adalah koleksi 17 matlamat global yang ditetapkan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 2015.
SDGs adalah sebahagian daripada Resolusi 70/1 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu: “Mengubah Dunia Kita: Agenda 2030 untuk Pembangunan Mapan.” Itu telah dipendekkan kepada “2030 Agenda.
Matlamatnya adalah luas dan saling bergantung, namun masing-masing mempunyai senarai sasaran yang berasingan untuk dicapai. Mencapai semua 169 sasaran akan memberi isyarat untuk mencapai semua 17 gol.
SDG meliputi isu pembangunan sosial dan ekonomi termasuk kemiskinan, kelaparan, kesihatan, pendidikan, pemanasan global, kesetaraan gender, air, sanitasi, tenaga, urbanisasi, alam sekitar dan keadilan sosial.
Perenggan 54 Resolusi Perhimpunan Agung PBB A/RES/70/1 pada 25 September 2015 mengandungi matlamat dan sasaran. Proses yang dipimpin oleh PBB melibatkan 193 negara anggota dan masyarakat sivil global.
Resolusi ini adalah perjanjian antara kerajaan yang bertindak sebagai Agenda Pembangunan Pasca 2015. SDG membina prinsip-prinsip yang dipersetujui dalam Resolusi A/RES/66/288, bertajuk “The Future We Want”.
17 matlamat SDG tersebut seperti yang disenaraikan di bawah ini:
Goal 1: No poverty
Goal 2: Zero hunger
Goal 3: Good health and well-being for people
Goal 4: Quality education
Goal 5: Gender Equality
Goal 6: Clean water and sanitation
Goal 7: Affordable and clean energy
Goal 8: Decent work and economic growth
Goal 9: Industry, Innovation, and Infrastructure
Goal 10: Reducing inequalities
Goal 11: Sustainable cities and communities
Goal 12: Responsible consumption and production
Goal 13: Climate action
No comments:
Post a Comment